Kek Coklat Tanpa Telur

Resepi Kek Coklat Tanpa Telur Sedap

Resepi kek coklat sedap yang sesuai dijamah untuk seisi keluarga pada waktu petang adalah kek coklat yang tidak tebal tetapi masih sedap kerana disaluti krim segar berperisa coklat. Beberapa minggu yang lalu saya ada kongsikan resepi kek cawan coklat tanpa telur, kali ni saya buat kek coklat yang bentuknya lebih nipis. Bukan jenis kek untuk meraikan hari jadi atau seumpamanya ya, lebih kepada hanya untuk ketika anda mahukan snek manis. Orang kata bukan senang mahu cari resepi yang betul-betul sesuai dengan citarasa kita. Kalau saya memang suka kek yang kurang manis tapi masih dapat rasa manisnya.
Resepi Kek Coklat Tanpa Telur Sedap

Bahan-bahan Resepi Kek Coklat Tanpa Telur

195g Tepung Serbaguna (All Purpose Flour)
90g Gula Kastor
71g Butter yang dicairkan
25g Serbuk Koko
1 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh baking soda
1/4 garam
1 sudu teh ekstrak vanilla
200ml air suam
1 sudu besar jus lemon yang ditapis atau cuka
1/2 sudu teh ekstrak kopi (saya guna jenama Nescafe)

Krim putar perisa coklat:
90g Whipping Cream (Krim putar)
20g Whipping Cream (Krim putar) mangkuk lain
88g Bar Coklat
10g Gula Icing

Cara penyediaan
1. Ayakkan bahan-bahan kering seperti tepung serbaguna, serbuk koko, baking powder dan baking soda. Gaul rata.
2. Masukkan gula kastor dan garam.
3. Masukkan butter yang telah dicairkan, ekstrak vanila, ekstrak kopi.
4. Masukkan dua bahan terakhir iaitu jus lemon/cuka dan air suam.
5. Panaskan oven dengan suhu 180 Darjah Celsius selama 10 minit sebelum memasukkan adunan kek anda. Saiz loyang yang digunakan adalah 36cmx23cm. Masak selama 10 hingga 15 minit kerana teksturnya yang nipis membolehkan kek cepat masak. Jika terlalu lama dibakar, kek akan menjadi kering dan merekah.
6. Sejukkan kek di dalam loyang setelah ia masak.
7. Gunakan microwave anda dalam 20 hingga 30 saat untuk mencairkan bar coklat, gaul rata secepat yang mungkin dan campurkan 20g krim putar(whipping cream) sebelum coklat mengeras. Sejukkan adunan coklat tadi di dalam peti sejuk supaya ia sejuk.
8. Gunakan mixer anda dan putar whipping cream(Krim putar) tadi dalam 10 saat. Masukkan gula icing dan adunan bar coklat yang telah disejukkan tadi, putar lagi selama 15 saat. Jangan putar lebih lama kerana krim itu akan menjadi “over-whipped” atau terlebih putar dan menyebabkan teksturnya keras atau tidak lembut. Jika anda terlebih putar, masukkan sedikit krim putar tadi dan gaul menggunakan spatula anda perlahan-lahan supaya ia tidak terlebih putar lagi.
9. Letakkan krim putar itu di atas kek coklat anda yang telah sejuk secara merata. Sejukkan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya dalam 30 minit sebelum dihidangkan.

Banyak orang suka menggunakan sukatan gelas tetapi saya lebih selesa menggunakan sukatan gram atau ml yang saya dapati pada alat penimbang saya. Kenapa saya gunakan penimbang? Supaya sukatan lebih tepat. Kadangkala orang yang menggunakan gelas, gelas mereka berbeza-beza saiz. Jika mereka menggunakan sudu penyukat, itu juga boleh dipertimbangkan tetapi perlu anda ketahui bahawa di sudu tersebut ada tertulis bahawa 1 cawan(cup) bersamaan dengan 250ml. Jika anda gunakan alat penimbang dan menetapkan tetapan yang anda gunakan kepada ukuran ml untuk menimbang 1 cawan itu, beratnya hanyalah 140ml atau 140gram. Perkara ini agak membingungkan jadi saya sarankan sebaiknya anda gunakan alat penimbang. Anggaplah alat penimbang itu satu pelaburan dalam pembelajaran anda untuk belajar membuat kek dan memasak. Tidak rugi pun, beli sekali tapi dapat pakai berkali-kali. Sekian untuk resepi kali ini.

Tags:
Previous Post
Resepi Kuih Donut Gebu Dan Lembut
Resepi

Resepi Kuih Donut Gebu dan Lembut

Next Post
Resepi Kek Cawan Coklat Almond Lava
Resepi

Resepi Kek Cawan Coklat Almond Lava